Martina teruja rayakan Aidilfitri
KUANTAN 21 Sept. - Seorang gadis kelahiran Itali, Martina Pisano, 16, berasa bertuah apabila buat pertama kali dalam hidupnya merasai sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini pada tahun ini.
Kunjungannya ke negara ini berikutan dia terlibat dalam program pertukaran budaya anjuran Yayasan Antarabudaya Malaysia (AFS) sejak 16 Julai lalu.
Martina ketika ditemui memberitahu, dia amat teruja untuk meraikan hari raya bersama keluarga angkatnya di Air Putih di sini.
''Pertama kali berpuasa dan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri membuatkan saya rasa sangat seronok.
''Walaupun ketika pertama kali berpuasa saya begitu haus dan keletihan tetapi hari berikutnya saya tetap teruskan berpuasa," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah keluarga angkatnya di sini hari ini.
Bagi bapa angkatnya, Ahmad Mazlan Ahmad Shamshudin, 47, Martina merupakan anak angkatnya yang ke-14 selepas dia melibatkan diri dalam program yang dianjurkan oleh AFS itu.
''Sebelum ini anak angkat saya dari Jepun dan Jerman. Jadi, dalam masa yang sama saya sekeluarga dapat mengenali budaya negara luar dengan lebih mendalam," jelasnya.
Dengan kehadiran Martina yang cukup disenangi oleh empat anaknya akan menambahkan lagi seri lebaran mereka pada kali ini.
''Anak-anak memang sukakannya kerana selain mudah didekati, Martina juga mudah mempelajari sesuatu.
''Malah, pada bulan Ramadan, dia juga tidak ketinggalan bersama-sama keluarga saya ke masjid untuk melihat sendiri umat Islam melakukan solat sunat tarawih," kata pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Dalam pada itu, anak kedua Ahmad Mazlan, Athirah, 15, berkata, dia dan adik beradiknya yang lain seronok apabila Martina menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
''Martina berbeza dengan saudara angkat sebelum ini kerana selain kelakar, dia juga tidak memilih terutama dalam soal makan," katanya.
''Apa sahaja yang ibu saya sediakan semuanya dijamah hinggakan sekarang semua masakan pedas disukainya," jelasnya yang sama-sama bersekolah dengan Martina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih.
Martina yang akan tinggal bersama keluarga angkatnya selama setahun amat menggemari durian dan gulai patin masak tempoyak.
Sementara itu, menurut Pengerusi AFS Kuantan, Wong Choo Ching, program seumpama itu dilakukan untuk menggalakkan pembelajaran antara budaya melalui keluarga angkat yang dipilih melibatkan pelajar, golongan profesional, pekerja dan keluarga.
''AFS turut menawarkan peluang kepada para pelajar untuk tinggal bersama keluarga tempatan dan belajar di sekolah tempatan di 15 buah negara,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment